Untuk sekian kalinya, bulan Julai
dinobatkan sebagai Bulan Membaca. Maka riuh-rendahlah orang-orang yang terlibat dalam industri ilmu ini berdiskusi,
berkempen, berseminar, bersidang dan sebagainya semata-mata untuk menyuruh dan menggalakkan orang ramai membaca.
Seperti biasa sambutan dalam bentuk pesta-pestaan dan keramaian ini menelan belanja yang bukan sedikit, mungkin mencecah
ratus-ribuan ringgit dan masa yang perlu dikorbankan. Kita berharap usaha ini menghasilkan masyarakat Malaysia yang suka
membaca.
Menyentuh tentang tabiat membaca
ini, masih ramai lagi berpendapat bahawa masyarakat Malaysia terlalu kurang membaca dan tidak banyak berubah
seperti 20 tahun yang lampau. Di mana silap dan kekurangan ini tak tahulah. Bagi kita, sejak dari tadika lagi
telah diperkenalkan dengan bahan bacaan ABC sehinggalah ke peringkat universiti dan seterusnya di alam
berkerjaya. Tak henti-henti membaca, namun kita masih lagi ditakrifkan membaca purata dua buah buku setahun!
Amat menyedihkan generasi pada
masa kini kurang gemar membaca, malah mereka lebih cenderung kepada gejala sosial yang sangat merunsingkan.
Golongan muda-muda kini malas untuk pergi ke perpustakaan, tetapi kerap berkunjung ke pusat-pusat hiburan
dan melakukan pelbagai salahlaku di sisi undang-undang. Budaya membaca sememangnya telah lama diperkenalkan
oleh pelbagai pihak terutamanya kerajaan untuk membudayakan masyarakat yang berilmu pengetahuan tinggi,
namun masyarakat hari ini masih tidak peka dan belum mengetahui secara menyeluruh kepentingan membaca.
Sekiranya hendak dikaji kenapa
orang tidak membaca buku, maka jawapannya terlalu banyak. Kajian dan berbagai-bagai bentuk penulisan telah
dilakukan berkaitan membaca dan hubungannya dengan buku. Setiap pihak yang terlibat dengan industri ilmu ini
telah disentuh dan diberi saranan supaya terus meningkatkan lagi industri ini. Baik penulis, penyunting,
pembaca pruf, perekabentuk, pencetak, penjilid, pengedar, penjual, pembeli dan pembaca telah dibuat
post-mortem tentang sumbangan mereka terhadap industri ilmu ini. Namun tidak banyak berubah. Di mana
silapnya?
Hendak meletakkan tanggungjawab
ini kepada pihak Perpustakaan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan Negara, Perpustakaan
Awam dan sebagainya adalah tidak begitu adil kerana organisasi ini punya tanggungjawab sosial yang jauh
lebih besar dari menggalakkan pembacaan. Maka pada pendapat saya, kita semua harus mengambil tanggungjawab
ini dan memulakan dalam diri kita dan keluarga kita sendiri dengan mengamalkan tabiat MEMBACA. Bacalah apa
sahaja bahan yang boleh memberi manfaat dan kepuasan kepada kita iaitu bahan bacaan seperti majalah, akhbar
picisan, komik, atau buku ringan dan serius -- sekiranya kita ingin membaca, bacalah sepuasnya. Jangan
diperkecil dan diperlekehkan usaha dan tabiat suka membaca mereka. Saya percaya hasil dari tabiat dan
kesukaan membaca ini akan bertukar corak apabila mereka memerlukan sesuatu maklumat dan pengetahuan di
masa-masa akan datang dan mereka akan mencari bahan bacaan yang lebih sesuai dan berkualiti.
Harapan kita semua, selepas bulan
Julai ini kita akan terus membaca dan membaca lagi sampai bila-bila.
|